Saturday 12 September 2015

Ceritaku dan tudung Bidang 60"

Assalammualaikum wbt...
bertemu kembali ke laman karya saya.
alhamdulillah pada hari ini saya masih sihat, bernafas, dan bersama anak-anak dan suami menikmati dunia yang sementara ini.

Saya insan biasa. Terpanggil untuk berkongsi kisah saya setelah melayari laman web tudung nur. Laman web ni sebenarnya baru meniti di jejari manis saya setiap kali saya menggunakan internet.

Ceritaku dan tudung Bidang 60".

Otak ligat memikirkan intipati esei ini. Maklumlah selalunya orang yang menulis esei bergelar pelajar, saya kini adalah pengajar. Cikgu Sains pula..hehehe..(ketawa sekejap)

Cerita saya bermula apabila saya muda remaja lagi. Perubahan fizikal menyebabkan saya berasa malu untuk memakai tudung yang pendek. Tambahan pula baju sekolah berwarna putih. Terlihat kawan yang menayangkan tali-tali halus di belakang badan mereka membuatkan saya malu. Saya tak hendak lelaki yang bukan muhrim saya melihat semua itu! oh tidak sesekali! Amat menghairankan mengapa saya boleh berfikir begitu seawal usia 13 tahun. Saya percaya itu adalah hidayah daripada Allah SWT.

Ibu saya mempunyai kelebihan menjahit. Serba serbi pakaian sekolah saya termasuk tudung dia yang siapkan. Namun, pada masa itu saya belum memakai tudung bidang 60", tetapi masih labuh dan menutup aurat.

Saya memang kelihatan seperti remaja yang tidak berfesyen ketika itu. Mana tidaknya, dengan seluar lelaki, baju t shirt besaq gedabak (loghat utagha pula= besar sangat). Tahu sebab apa jadi begitu? Sebab tiada pilihan pakaian wanita muslimah pada masa itu. Baju tshirt perempuan semua kecil, sendat, seluar pun sendat-sendat juga. Argh...memang merimaskan bila bab nak pilih baju dan seluar tahun 90an dulu!

Menginjak usia matrikulasi pada tahun 2002, saya ke Kelantan. Hidayah Allah SWT  datang lagi. Dia hadirkan kawan-kawan yang bersekolah di sekolah agama. Dia hadirkan ilmu yang cukup membuatkan hati saya tersentuh lagi. Dia bawa saya ke sebuah negeri yang terkenal dengan panggilan Serambi Mekah. Di sini, saya melihat para jurujual wanita memakai tudung. Di sini saya melihat kepelbagaian tudung bidang 60" yang tebal, tidak jarang dan cantik, elok terletak. Di sini juga saya mempunyai kewangan yang kukuh kerana mendapat elaun matrikulasi. Di sini juga saya belajar membaca Al-Fatihah dengan betul. Di sini saya berqiamulail. Ya, semuanya di KELANTAN DARUL NAIM.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Perlahan-lahan saya mengumpulkan tudung bidang 60".  Saat memakainya kali pertama, saya menunduk. Saya malu. Bisikan negatif  dalam hati bertubi-tubi mengatakan

" Hang tak layak la pakai tudung besaq camni.."
" Hang bukan budak sekolah agama"
"Hang pakai tudung besaq-besaq camni hang ingat ada ka laki nak kat hang nanti"

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Allah SWT yang menghembuskan bayu hidayah ini dan Dia yang Maha Mengetahui..

Saya tidak pedulikan semua itu.. setiap kata negatif di atas ada jawapannya.


Artikel ini ditulis lama dah. Moga bermanfaat.

Saya tidak kisah redha atau pandangan manusia, tetapi saya amat memerlukan redha Allah SWT. Titik. No turning back.

Ya, dahulu saya tidak suka berbaju kurung. Berseluar seperti lelaki. Kini, Koleksi baju kurung tidak cukup almari. Tudung bidang 60" penuh dalam laci. Antara pilihan saya tentunya tudung nur. Mudah dibeli. Pilih yang berkenan di hati dan sms sahaja. Sangat mudah terutama bagi ibu yang sibuk bekerja, menjaga anak yang berumur setahun 2 bulan dan dua tahun 6 bulan. Hendak membeli belah seperti bujang dahulu memang tidak logik.

Kali kedua saya memakai tudung nur jenis Helwa berwarna hijau jenis bundar ada pelapik dagu yang dijahit oleh ibu saya, seorang rakan sekerja menegur.

"Syu, cantiknya tudung ni. Beli kat mana?"

Maka bermulalah pula kisah tudung nur di tempat saya bekerja. Sehingga esei ini ditulis tudung Helwa telah kehabisan stok. Saya masih menanti stok baru seperti yang diwar-warkan. Insya-Allah saya pasti memiliki stok Helwa yang baru. Kainnya tidak jarang dan menepati syariat.

Saya bersyukur Allah mempertemukan saya dengan laman web tudung nur melalui pengedar Al-Aisy Collection. Saya amat bersyukur dengan setiap perjalanan hidup saya ke arah jalan kebenaran. Setiap kali saya jatuh tersungkur, Allah akan hadir. Dia akan hantarkan insan yang memandu saya kembali ke jalan kebenaran itu. Saya percaya tudung nur adalah antara signal daripada Allah untuk terus membimbing saya, memandangkan hobi saya adalah mengumpul tudung bidang 60".

Alhamdulillah. Moga pembaca yang sudi membaca cerita saya juga mendapat hidayahNya. Allah amat menyayangi hambaNya. Cuma kita, kadang-kadang terlupa kerana sibuk mengejar dunia yang masanya sementara.

Subhanallah.. Wanita itu cantik. Moga aurat kita terjaga dari pandangan lelaki bukan muhrim.

Allahuakbar.. Allah Maha Besar. Besar sangat nikmatnya pada kita, sedangkan amalan kita cukup-cukup makan? Muhasabah diri saya sendiri. Dosa-dosa memang ada kerana kita bukan maksum. Moga dengan menutup aurat kita tidak menambahkan lagi dosa yang sedia ada. wallahualam.

Sekian dulu coretan saya. Moga Allah memakbulkan doa-doa kita. Amin.



No comments:

Post a Comment