Assalammualaikum semua pembaca.
Kisah durian dan kehamilan?
Musim durian telah tiba. Menjelang Jun sehingga Julai, kisah
durian tertera di merata media sosial.
“Wah kuningnya”
“Isinya tebal. Sedap ni” Sambil menaip ni pun saya dah
terliur..hehehehe..
Alkisah saya, durian dan kehamilan ini berlaku pada tahun
2016. Kisah ini melibatkan kelahiran anak keempat saya, seorang bayi lelaki
seberat 1.75kg dan lahirnya betul-betul pada 1 Syawal, petang Hari Raya
Aidilfitri.
Semasa membawa beliau dalam rahim, musim durian dah datang.
Sekitar bulan Jun 2016. Masih segar dalam ingatan ini. Saya begitu craving
durian. Mengidam sangat-sangat. Mahal pun sanggup bayar asalkan saya dapat
makan durian. Pernah suami belikan RM60 harganya untuk sebiji durian. Dah tu
tak cukup pula tu. Esoknya, nak lagi durian.
Sambil makan durian tu sambal berdoa moga Allah lindungi
anak dalam kandungan ini. Saya bertanya juga dengan Pakcik Google. Jawapan
pakcik, boleh makan sikit-sikit, jangan berlebihan sebab kandungan gulanya
tinggi.
Saya pun bertanya juga kepada mak. Pun jawapan lebih kurang
sama. Jangan berlebihan.
Kerap sungguh makan durian. Selang beberapa hari, murah
rezeki, mak pengasuh anak pula hantar durian percuma dari dusun adiknya. Mereka
tak makan durian. Rezeki sungguh. Makan lagi.
Kemudian, Ramadhan tiba. Selang beberapa hari kemudian,
dapat lagi rezeki makan durian. Rezeki ibu mengandung. Kira memang kerap betul
makan durian tau.
Semasa Ramadhan, kandungan saya dah menghampiri 8 bulan.
Setiap kali saya makan durian berlebihan, saya perasan, baby menderu dalam
perut. Pergerakan beliau aktif sangat memusing-musing. Saya memang khuatir.
Saya risau. Berazam tak mahu makan durian dah. Tetapi, rezeki durian datang
lagi. Kali ini, abang saya sendiri belanja kami seisi keluarga berbuka di rumah
mak, sambil makan durian.
Mana mungkin saya menolak. Makan lagi berpada-pada orang
kata. Macam biasa, baby menderu lagi dalam rahim ni. Saya masih mengira
pergerakan baby. Cukup 10. Dalam tempoh berpuasa ini, saya ada check up di KK.
Saya pun ada buat Scan 4D untuk melihat wajah baby. Doktor tak dapat focus ke
wajah baby disebabkan kedudukannya yang tidak sesuai.
Malam hari raya, iaitu selang dua hari selepas saya makan
durian. Malam tu, macam-macam kerja saya buat. Packing kuih raya, kemas rumah,
vakum rumah dan menyediakan pakaian raya anak-anak.
Pagi raya, lagi banyak kerja buat. Baju anak besar pula,
jenuh menjahit pula di lengan baju sebab mengelebeh. Pagi raya tu. Bayangkan.
Kalut. Dengan anak no 3 baru berumur 1 tahun 3 bulan. Baju raya kami tema
hitam. Saya pakai jubah hitam. Senang sikit, perut besar kan? Hehehehe
Bersiap-siap sambil layan anak-anak tiga orang tu sementara
tunggu abah mereka balik dari solat aidilfitri. Sejujurnya, saya dah penat
sangat. Dan saya perasan baby tidak bergerak lagi pagi itu. Saya kerisauan dan
kepenatan. Namun, masih cool dan berlagak tak ada apa-apa.
Kami menziarahi mak saya terlebih dahulu. Makan lemang dan rendang.
Anak-anak pula minta itu ini. Berapa kali bangun entah la. Perut besar, badan
berat nak bangun pun payahnya lahai. Sekali saya bangun, nak ambil laksa.
Perasan ada sesuatu keluar di bawah. Panas.
Saya cepat-cepat ke tandas. Ya Allah, darah pekat merah ada.
Saya beritahu kakak ipar minta panggil adik perempuan saya untuk dapatkan pad.
Seram sejuk badan masa tu. Berdebar-debar. Dalam hati, baby baru 8 bulan, 32 minggu. Macam mana ni.. Saya masih berfikir positif, mungkin darah ini ja yang
keluar. Selepas saya pakai pad, saya
berjalan ke ruang tamu, sekali lagi darah keluar. Hangat. Pad terus penuh.
Saya pakai dua pad. Suami ajak ke hospital. Kami terus pergi
hospital Parit Buntar. Sunyi tengahari tu. Tengok misi pun macam tiada mood
bekerja. Hari Raya kan? Dia layan kami, tapi Doktor cakap terus terang, depa
tiada kemudahan terutama untuk yang tidak cukup bulan. Kami perlu ke Hospital
Taiping.
Saya bertegas dengan suami saya nak ke Hospital Kulim.
Kemudahan di sama setanding dengan Taiping. Kami menanggung risiko sebenarnya.
Darah masih keluar lagi jika saya banyak bergerak.
Maka, suami drive kami ke Kulim. Mak yang menemani saya
ketika itu terpaksa pulang ke rumah, melihat anak-anak saya kt rumah. Pada
ketika itu, saya berdepan dengan rasa, adakah ini masanya untuk ‘pergi?’
Allahu, sebak rasanya.
Sepanjang perjalanan ke Kulim, kami berdua sunyi tidak
berkata apa-apa. Kerana saya juga sedang melayan perasaan dan doa tidak
putus-putus dalam hati. Jika ini masa untuk pergi, moga amalan saya sebelum ini
diterimanya.
Sampai di trafik
light Sungai Ular, darah panas keluar lagi. Sakit tak rasa, Cuma darah ja yang
keluar. Suami drive semakin laju.
Kami terus ke kecemasan. Saya naik kerusi roda. Khuatir
darah keluar lagi.
Pada mulanya, misi memeriksa saya. Apabila saya bangun,
darah menitik2 keluar sehingga ke lantai, sedangkan saya pakai pad. Boleh
bayangkan tak. Pad pun bocor.
Misi terkejut. Banyak darah awak ni. Saya pandang misi.
Kesian misi, hari raya pun bekerja. Misi tu orang Kelantan. Dialek Kelantan nya
jelas sangat.
Saya terus dibawa
berjumpa doktor. Seorang doktor perempuan berbangsa India. Doktor scan baby.
Katanya baby tak ada apa-apa. Cuma uri kat bawah. Plasenta Previa Type 2 dia
kata. Pa dia tu..huhuhu.. Uri bawah. Duk bergesel dengan bladder. Sebab tu
berdarah.
“Puan, kita perlu bedah puan. Kita perlu selamatkan baby dan
puan.”
Saya bersetuju saja la. Apa daya yang ada pada ketika itu.
Prosedur pembedahan segera dilaksanakan. Saya diberi
suntikan memantangkan paru-paru baby. Baby baru 32 minggu.
Saya dibawa ke bilik pembedahan, dah keluar dari bilik
tersebut lebih kurang jam 6 petang. Saya tak ingat apa-apa langsung selepas
mereka memberikan gas dan meminta saya mengucap.
Saya mamai, saya cakap sejuk dekat suami,dia pun sarungkan stoking
kaki kepada saya. Langsung tak boleh bangun. Terbaring saja di katil. Petang
itu waktu melawat, mak dan seisi keluarga termasuk anak-anak saya datang. Baby
tiada di sisi. Baby perlu berada di NICU disebabkan pra matang.
Anak keempat saya lahirnya pra matang, itulah beratnya cuma 1.75kg.
Bagaimana uri boleh berada di bawah? Itu yang saya hairan sangat. Saya pergi
scan 4D tapi Dr tidak pun mengesan uri di bawah. Ataupun kerana doktor tidak focus
kepada uri pada masa itu. Kedudukan baby sebelum ini ok saja, adakah kerana
makan durian dan kuat bekerja menyebabkan kedudukan baby berubah drastik?
Secara peribadinya, jika ada yang bertanya bolehkah makan
durian ketika hamil? Saya akan jawab saya tidak berani dah. Berdasarkan
pengalaman saya yang saya tulis di sini. Jika ibu-ibu di luar sana ingin makan
durian, ingatlah kisah saya ini. Saya makan memang banyak. Bukan seulas dua. Berulas-ulas.
Saya semememang melahirkan anak no 1,2,3 paling lewat pun 37
minggu. Tetapi pada 32 minggu dengan keadaan uri bawah ini, sesuatu yang di
luar jangkaan. Saya tidak menyalahkan durian,tetapi saya menyalahkan diri
sendiri keranda tidak berpada-pada ketika hamil. Terlau stress, terlalu aktif
boleh jadi juga punca kepada kelahiran awal ini.
Kepada ibu hamil semua, jaga kesihatan dan berehatlah. Anda
berhak berehat kerana anda membawa nyawa di dalam rahim anda.
Sekian.